Badminton Sukan Asia Hangzhou: Zii Jia tumbangkan juara dunia untuk ke suku akhir

Muzaffar Musa
Oktober 4, 2023 18:48 MYT
Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, mara ke suku akhir acara perseorangan badminton Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila bangkit menumbangkan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, di Gimnasium Binjiang hari ini.
Berdepan pemain pilihan ketiga itu, Zii Jia, bagaimanapun, bermula perlahan apabila tewas mudah 10-21 dalam set pembukaan.
Zii Jia kemudian bangkit dalam perlawanan penuh aksi set kedua, di mana dia kemudian meraih dua mata terakhir untuk menang 21-19, sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Dan permulaan baik dalam set ketiga menyaksikan aliran trafik bergerak sehala memihak tonggak negara itu untuk dia meraih kemenangan mudah 21-6 bagi mengesahkan tempat ke suku akhir.
Zii Jia seterusnya akan menghadapi jaguh India, H. S Prannoy, bagi penentuan ke separuh akhir esok.
"Seperti yang saya katakan beberapa hari lalu, saya sentiasa akan memberikan yang terbaik walaupun pada hari itu prestasi saya tidak baik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Farihah Razak.
"Kerana tiada seorang pun atlet yang mahu kalah di dalam gelanggang, mungkin ia hanya bukan hari anda," katanya.
#badminton #Lee Zii Jia #Sukan Asia Hangzhou
;