Badminton Remaja Asia: Kematian Zhang Zhijie sah punca serangan jantung, tindakan pasukan perubatan dipertahan
Julai 2, 2024 11:17 MYT
Jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy, mengesahkan pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie, yang rebah di atas gelanggang dan meninggal dunia di hospital disahkan akibat serangan jantung.
Pemain berusia 17 tahun itu sedang menghadapi Jepun dalam acara berpasukan campuran Kumpulan D, Kejohanan Badminton Remaja Asia (AJC) 2024, di GOR Among Raga, kelmarin sebelum disahkan meninggal dunia setengah jam sebelum tengah malam.
"Laporan perubatan menunjukkan pemain itu mengalami serangan jantung," katanya dalam sidang media di Yogyakarta.
Dalam masa sama, Broto mempertahankan tindakan pasukan perubatan dan penganjur selepas rakaman video menunjukkan mereka teragak-agak untuk memberikan bantuan kecemasan setelah pemain itu rebah di dalam gelanggang memandangkan perlu menunggu kebenaran daripada pengadil.