BADMINTON
Badminton Remaja Allianz: Jack Yak Ka Hei rangkul kejuaraan berganda
Aksi kelayakan pusingan keenam Kejohanan Badminton Remaja Allianz menyaksikan Jack Yak Ka Hei meraih gelaran juara kategori perseorangan lelaki B-15 selepas menewaskan lawannya, Edwin Soong Pei Xuan dalam kemenangan straight set 21-10, 21-10.
Jack menegaskan, aspek fizikal dan kekuatan mental merupakan tonggak penting dalam corak permainannya meskipun mengakui keletihan semakin terasa di set kedua.
"Saya sememangnya ada meletakkan sasaran tetapi kadang-kadang saya hanya fikir untuk bermain sahaja.
"Set kedua saya sudah mampu untuk membaca corak permainan dan lebih mudah untuk saya mengawal perlawanan," tambahnya.
Sementara dalam aksi beregu lelaki B-15, Jack Yak Ka Hei sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang bergandingan dengan Kerwin Soh Jun Vui yang berjaya menidakkan langkah gandingan Ary Jaswine Sim-Norman Sulaiman dalam aksi berkesudahan 21-14, 21-11.
"Corak permainan yang kami tampilkan adalah lebih tenang berbanding sebelumnya dan saya akui pertahanan yang kami pamerkan kali ini lebih ampuh untuk menidakkan serangan lawan," ulas Kerwin.
Manakala perseorangan lelaki B-13, Muhammad Firdaus Abdullah tidak berdepan masalah mengetepikan cabaran Syahmi Rizq dengan kemenangan straight set 21-16, 21-17.
"Jurulatih saya turut menegaskan untuk tidak membuka ruang buat lawan mencuri mata dan saya perlu kekal fokus untuk memperbaiki corak perlawanan", kata Muhammad Firdaus.