Badminton Remaja Allianz Grand Final: Yew Ern-Hwee Ling bangkit untuk mara ke suku akhir

Aleqha Zainal
November 22, 2024 19:32 MYT
Beregu B-15 Selangor, Lim Yew Ern-Leong Hwee Ling, mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengatasi wakil dari Johor, S.Hasyni Devi-N.Navina dalam saingan hari kedua Kejohanan Badminton Remaja Allianz Grand Final 2024, semalam.
Walaupun tewas 18-21 dalam set pertama, pasangan dari Selangor itu kemudiannya bangkit dalam set kedua 21-12 sebelum memuktamadkan perjuangan lawan dengan mendominasi set ketiga 21-18 sekaligus mengungguli saingan kumpulan D kategori B-15.
Tambahan pula, kemenangan itu juga menyaksikan Yew Ern-Hwee Ling mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam 3 perlawanan setakat ini.
"Saya rasa prestasi kami sudah bagus, tetapi masih ada kemahiran dan teknik yang perlu diperbaiki. Terutamanya di bahagian hadapan, banyak kesilapan berlaku semasa situasi 50-50 permainan, ia agak mencabar sedikit." katanya
Sementara itu, kategori beregu lelaki bawah 15 tahun, gandingan wakil Selangor, Teh Zi Yi-ng Li mencatat kemenangan sulung dalam kempen grand final kali ini selepas menewaskan pasangan dari Sarawak, Athan Yang Zhi Yung-Bosco Ng Zong Ze dengan keputusan 21-17, 21-14.
Tewas dalam dua aksi terdahulu peringkat kumpulan, kemenangan ini kembali membuka peluang buat Zi Yi dan Li yang untuk meraih slot ke suku akhir.
"Sudah tentu kami gembira kerana ini kemenangan pertama kami. Namun, kesilapan yang berlaku adalah kerana kami masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan gelanggang.
"Jadi, kami perlu lebih mengawal permainan. Di dalam gelanggang, keyakinan sangat penting. Jika kami dapat bermain dengan baik, kami pasti boleh meraih lebih banyak kemenangan." tambahnya.
#badminton #Badminton Remaja Allianz Grand Final #Leong Hwee Ling #Lim Yew Ern
;