BADMINTON
Badminton PETRONAS Kebangsaan B-21: Zhi Shin sahkan gelaran kejutkan pilihan kedua
Zhi Shin rangkul mahkota Perseorangan wanita pertama PETRONAS Kebangsaan B-21
Lim Zhi Shin menampilkan prestasi terbaiknya untuk merangkul mahkota perseorangan wanita pertama Kejohanan Badminton PETRONAS B-21 2025 di Dewan Persatuan Badminton Pahang di Kuantan, pagi tadi.
Menentang pemain lebih berpengalaman, Siti Nurshuhaini Azman, dari Selangor, pemain berusia 17 tahun itu mengekalkan ketenangannya apabila menawan set pertama 21-19.
Bagaimanapun, dalam pertarungan yang berlanjutan panjang itu, Siti Nushuhaini selaku pilihan kedua pastinya tidak mudah menyerah dan juara Antarabangsa Lithuania 2024 tersebut mendominasi set kedua 21-17.
Zhi Shin membuktikan bahawa dia mempunyai kekuatan untuk meraih kemenangan dan gelaran itu dengan menguasai set ketiga 21-19 untuk menutup pertarungan selama 75 minit itu.
Dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki pula, Tan Kean Wei dari Pulau Pinang muncul juara selepas menewaskan wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Roslie Razeeq Danial.
Roslie, 17, yang merupakan juara beregu campuran di samping Ong Xin Yee dalam PETRONAS Kebangsaan B-18 tahun lalu, tumbang dalam set pertama 18-21 sebelum mengesahkan set kedua 21-13.
Namun, Kean Wei tetap tenang untuk menamatkan pertarungan selama 55 minit itu dengan memenangi set ketiga 21-10.