BADMINTON
Badminton: Michelle harap pengganti di ABM miliki kepakaran teknikal
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai, berharap penggantinya selepas ini mempunyai kepakaran teknikal dalam sukan berkenaan.
Michelle, yang bakal menamatkan perkhidmatannya pada 6 Ogos ini, berkata kekurangannya sepanjang menerajui ABM ialah pengetahuan teknikal setanding dengan jurulatih dan pengarah kejurulatihan.
"Harapan dalam badminton adalah sentiasa tinggi. Saya berasakan apa yang saya tidak dapat sumbangkan ialah analisis teknikal. Sudah tentu saya boleh menyumbang daripada segi perbincangan asas tetapi daripada segi teknikal agak terbatas.
Iklan
"Kalau CEO baru mempunyai kepakaran, dia boleh berbincang setaraf dengan pengarah kejurulatihan dan merangka pelan dan program dengan lebih baik. Kalau CEO baru boleh tambah aspek ini, akan ada nilai tambah," katanya.
Michelle membuat keputusan melepaskan jawatannya pada 9 Mei lalu susulan kekalahan 0-3 skuad wanita negara di tangan Filipina dalam saingan suku akhir acara berpasukan Sukan SEA Kemboja 2023.
Michelle berkata dia menyerahkan kepada pihak tertinggi Jawatankuasa Road to Gold (RTG) untuk menentukan khidmatnya sebagai Penyelaras Projek RTG sama ada dikekalkan atau tidak.
Dalam perkembangan lain, Michelle berkata pemain perseorangan dan beregu lelaki negara diletakkan sasaran pingat dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023, yang bermula hari ini di Yogyakarta, Indonesia.
Bagi perseorangan wanita, beregu wanita dan berpasukan, ABM menyasarkan skuad negara mara ke suku akhir.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, berkata badan induk itu memerlukan masa untuk mencari pengganti Pengarah Kejurulatihan Perseorangan yang ditinggalkan Wong Choong Hann, yang melepaskan jawatan itu bulan lalu.
"Kami tidak mahu terburu-buru kerana mahukan calon terbaik. Kami telah berbincang dengan semua jurulatih, mereka tahu tanggungjawab masing-masing dan akan menyertai beberapa kejohanan di luar. Kami telah berikan jadual perjalanan dan akan pantau mereka," katanya.
Choong Hann, yang menyertai BAM sejak November 2018 sebagai pengarah kejurulatihan sebelum mengambil tugas sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan, akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wong Tat Meng sebagai jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong.
Sementara itu, Tat Meng pula, yang juga bekas pemain negara, memilih untuk membimbing perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video