BADMINTON
Badminton Masters Thailand: Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terlepas akhiri kemarau kejuaraan negara
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal dalam usaha mereka untuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjuarai Jelajah Dunia tahun ini selepas tumpas dalam final beregu campuran Masters Thailand ketika menentang pilihan utama, sebentar tadi.
Wakil Malaysia itu kecundang 12-21 dan 18-21 kepada wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, dalam pertarungan selama 48 minit.
Tang Jie-Ee Wei mencipta sensasi mara ke final ini sambil memasang impian untuk mengejutkan pasukan pilihan tuan rumah bagi melanjutkan persembahan mantap mereka minggu ini.
Begitupun, Dechapol-Sapsiree bermula garang untuk mendahului dan akhirnya mendominasi set pembukaan.
Gandingan Malaysia itu kemudian mempamerkan aksi yang bersemangat dalam set kedua tetapi Thailand kental bertahan, sekali gus faktor penentu kejayaan mereka.
Pertahanan mereka diserlahkan oleh Sapsiree yang menyelamatkan dua pukulan tatkala sudah terduduk di atas lantai sebelum melakukan pukulan silang yang membuatkan Ee Wei tersentak.
Kekalahan itu juga bermakna mereka terlepas untuk mengulangi kejayaan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang dilakar pada 2018 dan 2019.
Keputusan lain menyaksikan gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, merangkul gelaran beregu lelaki sementara Aya Ohori dari Jepun memperoleh gelaran perseorangan wanita.
Pemain China Taipei Chou Tien-chen menang dalam perseorangan lelaki selepas dia menewaskan Loh Kean Yew, manakala Thailand memperoleh gelaran kedua di tanah sendiri menerusi pasangan beregu wanita Benyapa-Nuntakarn Aimsaard.