BADMINTON
Badminton Masters Indonesia: Pang Ron-Su Yin pamer kebangkitan ke suku akhir
Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan wakil India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Indonesia di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi.
Pasangan negara itu ketinggalan sejak dari awal set pertama dan terpaksa akur dengan kekalahan 18-21.
Bagaimanapun, mereka mempamerkan aksi lebih kemas dalam set berikutnya untuk mencatatkan kemenangan 21-15, sekali gus mengheret pertemuan itu ke set ketiga.
Aksi kian sengit dalam set penentuan itu, di mana kedua-dua gandingan saling berkejaran mata tetapi sebaik kedudukan terikat 19-19, Pang Ron dan Su Yin memiliki lebih ketenangan untuk meraih dua mata terakhir bagi merakamkan kemenangan 21-19 selepas secara keseluruhan bertarung selama 57 minit.
Mereka seterusnya akan bertemu gandingan tuan rumah, Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati, di peringkat suku akhir esok.