BADMINTON
Badminton Kebangsaan: Yap Roy King dominasi dua acara
Yap Roy King wajar dianggap sebagai pemain terbaik Kejohanan Badminton Kebangsaan selepas merangkul kejuaraan dalam dua acara di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.
Ketika bergandingan bersama Valeree Siow dalam beregu campuran, mereka menundukkan Choong Hon Jian-Go Pei Kee menerusi straight game.
Berbekalkan stamina yang cemerlang, rentak itu diteruskan yang menyaksikan Roy King membolot gelaran beregu lelaki di samping Wan Arif Wan Junaidi selepas mengetepikan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong.
Iklan
"Saya tahu ini merupakan tahun berbeza buat saya yang baru bergandingan dengan Wan Arif.
"Saya cuba yang terbaik untuk mematuhi arahan jurulatih dan hanya berikan 100 peratus di gelanggang," katanya.
Sementara itu, Leong Jun Hao menepati ramalan untuk bergelar juara perseorangan lelaki musim ini.
Jun Hao yang ketika ini menghuni ranking ke-54 dunia sedar bahawa masih banyak ruang yang harus diperbaiki untuk berdiri sebaris pemain bertaraf dunia.
"Saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi sendiri dan (berazam untuk) buat yang lebih baik dalam kejohanan antarabangsa," katanya selepas pertarungannya.
Dia turut menyasarkan ranking ke-32 dunia sebelum 2023 sampai ke penghujungnya.
K Letshanaa pula muncul juara perseorangan wanita dengan menundukkan Wong Ling Ching dalam aksi penuh debaran.
Letshanaa -- yang bakal buat penampilan sulung dalam siri jelajah dunia BWF menerusi Terbuka Korea Selanatan pada 18 Julai depan -- optimis untuk menggunakan peluang itu sebaiknya.
"Kebelakangan ni saya kurang melakar pencapaian di peringkat kejohanan antarabangsa.
"Kejohanan ini memberikan saya suntikan moral untuk menghadapi Terbuka Selatan.
"Saya akan cuba perbaiki kelemahan dalam masa terdekat ini dan lihat sejauh mana pencapaian dalam saya Terbuka Korea," katanya pula.
Must-Watch Video