Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, tidak menghadapi sebarang masalah untuk menewaskan bekas juara edisi 2016 dan 2017, Lim Chi Wing, untuk menempah tiket ke final Kejohanan Badminton Kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.
Jun Hao yang juga merupakan pilihan pertama kejohanan menganggap kemenangan 21-15, 21-17 itu mungkin dibayangi lawannya yang sudah kepenatan menghadapi dua perlawanan yang sukar.
"Saya cuba beraksi secara rali dalam set kedua dan dari situ dia nampak sudah keletihan," katanya.
Dalam masa sama, beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien, pula terpaksa mengerah kudrat sebelum menewaskan Go Pei Kee-Cheng Su Yin 21-14, 19-21 dan 21-16.
Vivian-Chiew Sien -- yang kini menghuni ranking ke-26 dunia -- nyata tidak mahu terlalu tertekan memikirkan pertarungan akhir esok, sebaliknya ingin menikmati setiap kejohanan yang disertainya.
"Saya harap beregu wanita negara yang lain dapat kejar prestasi beregu utama iaitu Pearly Tan-M Thinaah.
"Untuk karier saya, selagi ada peluang bermain berikutan perlawanan pun makin berkurang.
"Mungkin tahun depan saya akan bersara," kata Vivian pula.
Shaiful Shamsudin
Sat Jul 08 2023