Pemenang pingat emas Sukan SEA 2021, Chen Tang Jie, menyifatkan Kejohanan Badminton Dunia musim ini amat penting untuk menentukan masa depan kariernya.

Tang Jie yang bakal tampil dalam kejohanan di Tokyo itu buat kali pertama mahu membuktikan bahawa gandingannya dan Peck Yen Wei mampu membuahkan hasil kepada negara.

"Saya rasa cukup masa untuk kami cari semula kombinasi dalam tempoh sebulan ini.

"Kalau kami ditukarkan gandingan kemudian membentuk semula gandingan kami, proses itu mungkin memakan masa kerana corak permainan masing-masing mungkin sudah lain.

"Yang penting kami dapat berkomunikasi dengan baik di atas gelanggang.

"Walaupun kami berdepan undian sukar berdepan Juara Olimpik, Matthew Fogarty-Isabel Zhong, tetapi itu bukan satu alasan. Kalau mahu menjadi pemain utama maka kami perlu mengharunginya," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.




Pemain berusia 24 tahun itu dipisahkan dengan Yen Wei sebaik berakhir temasya Sukan SEA di Hanoi Mei lalu selepas bergandingan sejak 2018 dan mula bekerjasama dengan Valeree Siow dalam empat kejohanan -- bermula Masters Indonesia Jun lalu.

Namun, dia memasang impian untuk menyerlahkan potensinya bersama Yen Wei.

"Saya harap kami dapat buktikan masa depan kami bukan setakat ini sahaja, itu perkara paling penting."