Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen, tetap memandang positif aspek membina anak buahnya dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF di Copenhagen sepanjang minggu lalu.
Ia terutama melibatkan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang menwaskan juara Sukan Olimpik dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, biarpun dengan rekod pertemuan 2-4, selain memadamkan rekod 0-3 bertemu gandingan China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi, dalam laluan mereka ke separuh akhir.
Tambahnya, ia satu peningkatan yang akan membantu mereka dalam kejohanan akan datang, termasuk dalam Sukan Asia di Hangzhou bulan depan.
Malah, Bin Shen berasakan beregu yang melakukan penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, boleh menghampiri kemampuan Aaron dan Wooi Yik selepas turut layak ke pusingan 16.
"Saya agak gembira kerana kami sekurang-kurangnya dapat pingat gangsa kerana dalam pusingan 16 dan suku akhir, mereka menewaskan pemenang Sukan Olimpik dan pasangan dari China, jadi saya rasa mereka telah berusaha dengan gigih untuk memenanginya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.
"Dalam separuh akhir, kami mahu menang tetapi sayangnya kami kalah tetapi setidak-tidaknya masih dapat gangsa, jadi saya rasa kami perlu memandang ke depan bagi kejohanan yang akan datang.
"Saya fikir kita masih di landasan yang betul dan kesemua beregu lelaki hampir setara. Aaron dan Wooi Yik juga dapat mengekalkan tahap mereka, jadi saya harap mereka dapat teruskannya.
"Saya harap Man dan Tee dapat meningkat naik tetapi kami juga masih ada beregu remaja yang diharapkan akan bermain dengan lebih bagus dan meningkat secepat mungkin," katanya.
Muzaffar Musa
Mon Aug 28 2023