Badminton Dunia BWF: Anna Cheong-Teoh Mei Xing teruskan perjuangan
Shaiful Shamsudin
Ogos 23, 2022 12:42 MYT
Ogos 23, 2022 12:42 MYT
Kem Malaysia memulakan pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia BWF hari ini dengan dua wakil mengesahkan kemaraan sementara tiga lagi terkandas.
Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, paling mencuri tumpuan dalam pertarungan dengan Sitthikom Thammasin di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pagi tadi, sebelum hampa usaha kebangkitannya tidak kesampaian di sebalik semangat juang yang tinggi.
Sitthikom yang mengejutkan pemain di ranking ke-14 dunia, Kanta Tsuneyama, semalam meneruskan rentak cemerlangnya apabila mudah mendominasi set pertama 21-9 tetapi Tze Yong merampas set kedua dengan kemenangan 21-10, sekali gus sukar memberi gambaran sebenar kemampuan masing-masing dalam set penentuan.
Nyata permulaan baik mencerahkan laluan Sitthikom apabila selesa mendahului sekitar lima mata.
Di sebalik melebarkan penguasaannya 14-5, Tze Yong menonjolkan semangat luar biasa untuk menghambat kedudukan itu apabila mengutip lapan berturut-turut bagi merapatkan kedudukan 14-13.
Sekali lagi pemain muda Malaysia itu dituntut mengerah segala kudratnya untuk mengikat kedudukan 19-19 dengan memungut rentetan empat mata.
Pencabar dari Thailand itu tidak mudah hilang punca biarpun sempat menggigit raketnya bagi melepaskan geram terhadap semangat juang lawannya sebelum menyudahkan langkahnya untuk ke pusingan berikut dengan kemenangan 21-19.
Sementara itu, finalis Sukan Komanwel Birmingham, Treesa Jolly-Gayatri Pullela, menafikan laluan beregu wanita negara, Low Yeen Yuan-Valeree Siow, dengan kemenangan 21-11, 21-13.
Dalam masa sama, pemenang pingat emas perseorangan wanita Sukan SEA 2017, S. Kisona, tunduk kepada pemain veteran dari Vietnam, Vu Thi Thrang 21-10, 21-17.
Namun, dua lagi wakil negara layak menerusi Soniia Cheah (perseorangan wanita) dan Anna Cheong-Teoh Mei Xing (beregu wanita).
Soniia akan menyambung perjuangan bertemu juara Masters Indonesia 2022 dari China, Chen Yufei, dalam pusingan 32 esok selepas menjinakkan pemain muda Indonesia, Putri Kusumawardani, 21-19, 21-18.
Anna-Mei Xing yang mengambil masa 39 minit untuk menyingkirkan Stine Kuespert-Emma Moszczynski (Jerman) 21-13, 21-15 pula akan berdepan juara Terbuka Korea Selatan, Kim Hye-jeong / Jeong Na-eun, yang mematikan langkah mereka dalam Masters Malaysia bulan lalu.