BADMINTON
Badminton Dunia BWF: Aaron-Wooi Yik belum puas hati biarpun kembali panjat podium Kejohanan Dunia
Senyuman kembali terukir di wajah beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, apabila kembali memanjat podium dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna mereka berpuas hati dengan meraih pingat gangsa di Copenhagen, Denmark.
Aaron dan Wooi Yik sebaliknya akan terus memburu pingat emas atas nama negara sambil berkongsi pandangan mereka terhadap gandingan juara dunia baru dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae, yang menewaskan mereka dalam separuh akhir.
Iklan
"Memang rasa agak berbeza berbanding tahun lalu kerana ketika itu kami berada di podium paling atas," kata Aaron kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.
"Tahun ini kami dapat gangsa tetapi kami tetap bersyukur kerana masih dapat pingat untuk Malaysia.
"Saya rasa semua orang (pemain dari negara lain) juga sedang meningkat dan disebabkan kami tidak sentiasa menang, mungkin akan ada yang beranggapan badminton Malaysia agak ketinggalan.
"Tetapi saya boleh katakan yang semua pemain mahu meningkat dan tidak mahu kekal di tahap sama," katanya.
Mengenai kejayaan beregu Korea Selatan berkenaan tahun ini, Wooi Yik menambah: "Ia satu perkara yang baik buat kami kerana kami dapat lihat apa yang sedang mereka pertingkatkan, jadi kami juga dapat lihat apa yang perlu diperbaiki.
"Saya harap saya dan Aaron akan terus berjuang sehingga kami kembali mendapatkannya.
"Kami mahu berterima kasih kepada semua penyokong negara yang terus mendukung kami selama ini.
"Kami sudah berjuang sehabisnya dan ini (pingat gangsa) untuk anda semua.
"Kami menghargai sokongan anda dan mahu memberikan lebih banyak lagi buat anda semua pada masa akan datang," katanya.
Must-Watch Video