Badminton Dunia BWF: Aaron Chia-Soh Wooi Yik mohon maaf gagal tunai janji
Shaiful Shamsudin
Ogos 27, 2023 09:15 MYT
Ogos 27, 2023 09:15 MYT
Beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, memohon maaf kepada peminat negara atas kegagalan mereka mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia BWF 2023.
Aaron-Wooi Yik tumbang 21-23, 13-21 kepada Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae dalam separuh akhir di Royal Arena di Copenhagen, Denmark, sekali gus turut menamatkan kempen sebarang wakil negara dalam edisi ini.
Rakyat Malaysia berpeluang mendahului pada saat getir set pertama di kedudukan 19-16 tetapi memberi ruang lawan dari Korea Selatan itu menyerlah di hujung saingan.
Jelas terkesan dengan itu, beregu nombor empat dunia itu mempamerkan aksi goyah dalam set berikutnya untuk lawan mereka mengatur kemenangan selesa.
Hari ini bukan hari kita. ?? Tahniah bois, semangat juang luar biasa ditunjukkan!#GemilangkanLagi pic.twitter.com/gpCzeJhwTu
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) August 26, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Justeru, Aaron-Wooi Yik mengakui kesilapan dalam set pertama sebagai titik tolak perlawanan.
“Kami perlu menenangkan diri dalam situasi tegang seperti itu. Kami mendahului dengan beberapa mata dalam set pertama tetapi kami memuktamadkan permainan. Kemenangan set pertama jelas meningkatkan keyakinan lawan kami.
“Kami mempunyai keinginan tinggi untuk pergi jauh dalam kejohanan ini dan kami kecewa. Kami mengutip pingat gangsa tetapi kami inginkan pencapaian lebih tinggi. Kami memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” kata Aaron.