Badminton Berpasukan Campuran Asia: BAM tidak gusar prestasi Lee Zii Jia, Leong Jun Hao

Sinar Harian 
Februari 1, 2023 20:18 MYT
Prestasi 'turun naik' dua pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao, tidak akan menjejaskan misi Malaysia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023.
Malah, Pengarah Prestasi Tinggi Akademi Badminton Malaysia (ABM) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Tim Jones, mengakui tidak bimbang kemelut prestasi melanda kedua-dua pemain itu.
Sebaliknya, Jones percaya kedua-dua pemain berstatus senior itu mampu menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dalam membantu pasukan negara merealisasikan sasaran dalam kejohanan berkenaan.
“Sejujurnya saya rasa sedikit malang buat Jun Hao selepas keputusan yang diraihnya semalam. Namun saya fikir keputusan buruk diraihnya mampu menyuntik semula semangatnya sama seperti yang berlaku kepada Aaron-Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah.
“Begitu juga dengan situasi yang menimpa Zii Jia, walaupun prestasinya tidak konsisten dalam aksi perlawanan awal tahun ini, namun kami yakin dia akan kembali berada pada tahap terbaik pada kejohanan itu,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara.
Selain Zii Jia dan Jun Hao, Malaysia bakal diwakili Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Aaron-Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Pearly-Thinaah dan Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita); Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).
BAMTC 2023 yang bakal berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari depan menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan UAE.
Bagi edisi kali ini, Malaysia belum pernah mara hingga peringkat separuh akhir mengintai peluang menamatkan kempen dalam kelompok empat terbaik untuk slot automatik ke Piala Sudirman di Suzhou, China pada Mei depan.
“Kami menyasarkan mara ke separuh akhir kerana mahu layak secara merit (ke Piala Sudirman). Jadi kami tidak mahu menunggu saat akhir yang terpaksa mengikut kedudukan ranking untuk layak,” ujar Jones.
Kredit: Sinar Harian
#badminton
;