Badminton Berpasukan Asia: Skuad wanita negara tidak ketengah gandingan eksperimen
Shaiful Shamsudin
Februari 14, 2022 21:36 MYT
Februari 14, 2022 21:36 MYT
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, enggan mengambil risiko menggunakan pendekatan regu bidan terjun dalam Kejohanan Badminton Asia membabitkan skuad wanita negara menentang India, petang esok.
Perlawanan pembukaan Kumpulan Y itu dianggap aksi wajib menang bagi meletakkan Malaysia sebelah kaki ke peringkat separuh akhir.
Tidak seperti kempen Piala Uber Oktober lalu, barisan kejurulatihan negara tidak akan memisahkan pasangan sedia ada sebagai taktikal mengelirukan pihak lawan.
Ini bermakna Pearly Tan akan kekal dengan M.Thinaah, sementara juara Kejohanan Syed Modi bulan lalu, Teoh Mei Xing, akan kekal bersama Anna Cheong.
"Kami tidak mahu fokus mereka lari dengan persediaan yang telah dibuat.
"Kami akan turunkan beregu asal," kata Rexy kepada wartawan Astro Arena, Adam Zamri, di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, hari ini.
Mereka dilihat sebagai prospek penyumbang mata buat skuad negara jika dihitung dari sudut ranking dunia.
Malah, Pearly berharap dapat mempamerkan kemajuan selepas mereka diangkat sebagai nadi pasukan ketika ini.
"Kami hanya fokus kepada perancangan permainan sendiri dan gunakan pengajaran yang dikutip musim lalu," katanya.
Bagaimanapun, India turut mengidam kemenangan dalam perlawanan pembukaan itu biarpun membuat percaturan berani tanpa mempertaruhkan jaguh utama.
"Saya tidak mahu menganggap ia satu perlawanan yang mudah atau tidak memandangkan kami juga dibarisi beberapa pemain muda.
"Bergantung kepada rentak permainan mereka pada hari perlawanan.
"Perlawanan mudah kami anggap sebagai bonus tapi setiap persediaan kami adalah sama rata," kata jurulatih perseorangan India, Umendra Rana.