Badminton Berpasukan Asia: Pearly-Thinaah enggan pandang rendah pasukan lawan
Muzaffar Musa
Februari 10, 2022 22:01 MYT
Februari 10, 2022 22:01 MYT
Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, enggan memandang rendah pasukan lain dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam bermula Selasa ini.
Malaysia dilihat mengelak daripada mengisi kumpulan maut apabila diundi bersama Jepun dan India dalam Kumpulan Y.
Ini kerana kedua-dua pasukan berkenaan hanya akan membariskan pemain muda bagi kejohanan kali ini tetapi Pearly dan Thinaah enggan mengambil mudah setiap lawan yang akan dihadapi mereka.
"Memang mereka tidak menghantar pemain ternama tetapi kita juga mempunyai pemain yang akan beraksi buat kali pertama dalam kejohanan ini," kata Pearly kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.
"Kami tidak berasa tertekan tetapi sudah pasti kami perlu bertanggungjawab dalam memperjuangkan nama negara dan berusaha mendapatkan mata."
Thinaah menambah: "Di atas kertas, ramai yang akan menganggap Jepun sebagai lawan paling sukar tetapi kami juga tidak mahu memandang rendah India.
"Seperti yang Pearly katakan, kami hanya mahu buat yang terbaik dan sebagai satu pasukan, kami berharap untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan berusaha menyumbangkan mata."