Juara dunia 2021, Loh Kean Yew, menyimpan taring menjelang pertemuan getir Malaysia-Singapura sambil merendah diri menjelang perhitungan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Rabu ini.

Sesi ujian gelanggang semalam menyaksikan Kean Yew berseorangan menguji gelanggang untuk perlawanan pembukaan Kumpulan B itu sebelum menumpang latihan skuad Hong Kong.

Ini berikutan dia tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan perlu menjalani kuarantin wajib berbanding rakan sepasukannya lain yang mendapat kelonggaran perjalanan lengkap vaksin (VTL) dari Singapura.

Dia tiba di Malaysia semalam dan hanya akan menguji gelanggang secara rasmi pada hari ini.

Namun, ia bukan satu masalah kerana Kean Yew melahirkan keyakinan bahawa rakan sepasukannya yang lain turut membuat persiapan rapi dalam usaha merebut tempat sebagai dua pasukan terbaik peringkat kumpulan, sekali gus mara ke Piala Thomas.

"Ramai yang beranggapan ini satu perlawanan yang dinanti-nantikan.

"Tapi saya di sini untuk saingan berpasukan. Sudah tentu setiap mata adalah penting.

"Jadi ia usaha sepasukan dan apa sahaja boleh berlaku.

"Kami adalah sebuah pasukan yang dilengkapi campuran pemain muda dan senior.

"Setiap mata adalah penting dan berharap semua dapat beraksi dengan baik," katanya.

Kali terakhir negara jiran itu membuat penampilan di pentas Piala Thomas adalah menerusi edisi 2014 di New Delhi, India.