Badminton Asia disaran bertindak lebih proaktif

Shaiful Shamsudin
April 1, 2023 22:29 MYT
Spekulasi kepulangan perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) makin rancak apabila pertemuan di antara juara Seluruh England 2021 itu dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, semakin mendekati.
Namun, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkongsi bahawa Akademi Badminton Malaysia (ABM) bersama Jawatankuasa Road to Gold sudah pasti akan mempunyai penyelesaian menang-menang.
"Buat masa ini saya tak rasa banyak yang boleh diulas.
"Program Road to Gold dn ABM mungkin akan ada perancangan tersendiri setelah mendapat maklumat lebih lanjut, " katanya.
Selain itu, Kenny turut menjelaskan bahawa Kejohanan Badminton Asia di Dubai bulan ini akan berlangsung seperti biasa di sebalik desas-desus kejohanan tersebut mungkin dibatalkan.
Bagaimanapun, Kenny menyatakan bahawa pengelola, Badminton Asia (BA) perlu lebih proaktif dalam menjalankan tugasan agar seiring dengan status sukan berkenaan di benua ini.
"Saya diberitahu oleh pihak tertentu, mereka akan cuba teruskan perancangan tersebut.
"Saya rasa Badminton Asia perlu melangkah ke depan untuk menjadi satu organisasi yang boleh disegani.
"Ini kerana badminton merupakan sukan yang sangat popular di Asia jadi kalau ia tidak kukuh, ia tidak bagus untuk Badminton Asia," katanya lagi.
#badminton
;