Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) dengan cukup bergaya apabila menumbangkan gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, secara set langsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebentar tadi.

Turun selaku pilihan kelapan, beregu negara itu berdepan ranjau terbesar apabila dijadualkan untuk bertemu gandingan pilihan utama berkenaan memandangkan mereka tewas tujuh daripada 10 pertemuan lalu.

Dan seperti yang dijangkakan, perlawanan berlangsung dengan amat sengit sepanjang set pertama, di mana Yew Sin dan Ee Yi tidak pernah dapat mendahului pada awal permainan dan ketinggalan 10-15.

Bagaimanapun, mereka kemudian mula mengorak langkah untuk menyamakan kedudukan 15-15 dan mendahului 20-17 sebelum menyekat kebangkitan lawan dengan kemenangan 22-20.

Fajar dan Rian kembali mendominasi saingan awal set kedua dan mendahului 7-2 tetapi Yew Sin dan Ee Yi segera mengubah nasib mereka dengan menyamakan kedudukan 8-8 dan tidak pernah berada di belakang selepas itu.

Wakil negara itu menamatkan pertarungan selama 37 minit berkenaan dengan kemenangan 21-15 dalam set kedua untuk menantikan pemenang di antara beregu pilihan keempat dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, dan satu lagi beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana, bagi penentuan ke final esok.