Skip to main content

Badminton

BAC: Penarikan diri Pearly Tan tidak jejas perancangan ke Sukan Olimpik

pearly-tan.jpeg
Penarikan diri pemain beregu wanita negara, Pearly Tan, daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai bermula minggu depan tidak menjejaskan perancangannya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

BAC merupakan pentas terawal bagi mengutip mata kelayakan ke Paris tetapi Pearly terpaksa melupakan kejohanan itu gara-gara dijangkiti virus Influenza dan kini berada dalam pemantauan di Hospital.

Bagaimanapun, dia dan pasangannya, M. Thinaah, dijangka dapat kembali beraksi dalam Kejohanan Badminton Piala Sudirman, yang turut menawarkan mata kelayakan sama, di China bulan depan.

Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata Thinaah juga kini sedang berehat kerana tidak sihat tetapi keadaannya tidak serius seperti Pearly.

Pearly dijangka akan keluar hopital dalam masa terdekat dan berkemungkinan akan kembali menjalani latihan pada Isnin ini.

"Ia satu jangkitan tetapi mereka selalu bersama setiap hari dan mungkin Thinaah juga menghadapi situasi yang sama," kata Rexy kepada Astro Arena.

"Mungkin dalam keadaan fizikal, Thinaah mungkin lebih kuat, jadi mungkin kesannya tidak seteruk Pearly dan dia cuma keletihan sahaja.

"Jadi kami memilih untuk membenarkan Thinaah berehat agar keadaannya tidak melarat.

"Saya lihat mereka berada dalam motivasi untuk kembali ke tahap sebenar. 

"Berdasarkan komunikasi sesama kami, kami nampak sesuatu yang amat positif daripada mereka dan kami berharap ia akan menjadi petanda positif untuk mereka mendapatkan mata kelayakan dalam Piala Sudirman nanti," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video