BAC: Lee Zii Jia ditunjukkan jalan keluar lebih awal
Shaiful Shamsudin
April 27, 2023 09:47 MYT
April 27, 2023 09:47 MYT
Kempen juara bertahan, Lee Zii Jia, terkulai seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas tunduk 19-21, 16-21 kepada Angus Ng Ka Long di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi tadi.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut ZIi Jia terhadap pemain itu Hong Kong -- berlatih bersama menjelang BAC -- yang turut menafikannya dalam pusingan kedua Masters Indonesia, Januari lalu.
Zii Jia -- yang menjadi pilihan ketiga kejohanan-- mempamerkan aksi terbaiknya beberapa minit pembukaan untuk pendahuluan 10-5.
Tetapi tidak lama kemudian Angus mula memperkemaskan permainanya sebelum memintas pemain profesional kebangsaan itu dan melengkapkan kebangkitannya.
Angus terus selesa mengatur rentak dalam set kedua dan memaksa Zii Jia mengangkat tinggi pukulannya lalu dihukum.
Zii Jia jelas bergelut dan tidak dapat mencari rentaknya untuk menyerah selepas 39 minit pertarungan.
Ia adalah hari yang suram buat kontinjen Malaysia yang kebanyakannya mengikut jejak perseorangan utama itu termasuk Ng Tze Yong, Goh Jin Wei dan S. Kisona.
Namun, beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, pula terselamat tetapi dituntut mengerahkan kudrat sebelum mematahkan kelebihan awal M. R. Arjun-Dhruv Kapila 12-21, 21-16, 21-12.
Mereka bakal mengadakan pertemuan dengan wakil Jepun, Ayata Endo-Yuta Takei, manakala satu lagi taruhan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, akan berdepan dengan pilihan keempat Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut bermandi keringat untuk mengesahkan status sebagai pilihan kedua sebelum mengetepikan pemain dari Indonesia, Leo Carnando-Daniel Marthin, 19-21, 21-19, 22-20.
Dalam masa sama, beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, turut mara ke pusingan kedua.