Ketua jurulatih profesional negara, Rosman Razak, percaya persediaan anak buahnya berada di tahap optimum menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang akan membuka tirai esok.

Lebih-lebih lagi, keadaan bebas kecederaan turut meyakinkan Rosman yang turut berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), di samping kontinjen negara.

Dengan tiada lagi ruang berehat memandangkan mata kelayakan Sukan Olimpik 2024 akan bermula tidak lama lagi, Rosman berpuas hati dengan perkembangan anak buah kendaliannya dalam beberapa kejohanan yang telah dilalui selain sesi latihan yang dijalani sejak awal musim 2023.

"Kami akan berdepan laluan yang agak sukar seawal musim pertama apabila bakal bertemu lawan yang baik.

"Dalam suasana menuju kelayakan Sukan Olimpik, (pastinya) semua pemain sudah bersedia.




"Ini sesuatu yang menarik buat kami, bukan mudah dan ia saingan seimbang buat semua pemain," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Rosman kini bertindak mengawasi seramai 24 pemain profesional.

Antaranya ialah beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Lantas, Rosman menjangka mereka akan memulakan momentum sebaik tempoh kelayakan ke temasya itu bermula.

"Saya hanya boleh bercakap daripada segi pemain profesional bahawa sasaran kami masih lagi kelayakan Sukan Olimpik.

"Tempoh kelayakan ini panjang, dalam masa setahun apa-apa pun boleh berlaku.

"Saya harap pemain tidak ditimpa kecederaan serius dan saya berharap mereka dapat mengutip mata sebanyak yang mungkin dalam masa setahun," kataya lagi.