BADMINTON

Arif Junaidi buru kejuaraan pertama musim ini

Hanis Natasya Lizam 18/02/2025 | 10:41 MYT
Beregu lelaki muda negara, Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi, optimis bahawa satu gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim ini mampu menjadi titik perubahan besar dalam kariernya.
Ia juga bakal menjadi suntikan moral yang penting dalam menghadapi cabaran debut di pentas Seluruh England pada Mac depan.
Dia turut mengakui bahawa corak permainan dan taktikal baharu yang diperkenalkan oleh jurulatih dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi, berjaya membawa perubahan positif dalam peningkatan prestasinya.
Bagaimanapun, Arif sedar cabaran yang menanti bukanlah mudah, terutama berdepan dengan gandingan dari Indonesia yang pastinya telah lama diterapkan dengan teknik yang sama.
“Saya berharap dapat meraih keputusan terbaik tahun ini dan mencatat kemenangan pertama.
"Jika berjaya dalam perlawanan pertama, mungkin keyakinan saya akan bertambah selepas ini, katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.
"Saya juga berharap dapat memperoleh keputusan yang lebih baik di Jerman.
“Buat masa ini, kami lebih fokus pada aspek konsistensi kerana kami tahu corak permainan Indonesia hampir sama dengan kami, mungkin kami lebih konsisten.
"Oleh itu, saya berharap dapat belajar daripada pengalaman ini dan menerapkan dalam kejohanan Jelajah Dunia nanti,” katanya.
#badminton #Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi