BADMINTON
All England Live: Tang Jie-Ee Wei ada masalah komunikasi -- Rexy Mainaky



Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainay, mendedahkan faktor utama beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, terkandas awal dalam dua kejohanan terakhir adalah disebabkan masalah komunikasi di atas gelanggang.
Tang Jie dan Ee Wei tewas dua kali beturut-turut kepada gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, dalam pusingan awal Masters Orleans dan Kejohanan Seluruh England baru-baru ini.
Rexy menegaskan masalah itu perlu segera diatasi mereka untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik di pentas tertinggi.
"Kekalahan mereka bukan disebabkan masalah teknik atau kemahiran, ia adalah disebabkan hubungan di antara mereka di atas gelanggang," kata Rexy kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
"Kelemahan mereka adalah disebabkan karakter masing-masing, yang seorang mahu menang dan tidak boleh menerima kekalahan dan ia boleh menjejaskan pasangannya. Jadi, perkara itu perlu kami selesaikan.
"Tang Jie terlalu terkesan dengan keadaan dan dia seharusnya sudah memahami keadaan Toh dan Toh juga perlu sedar dia tidak boleh mengulangi kesilapan sama agar tidak menjejaskan pasangannya."