BADMINTON

All England Live: Soon Huat-Shevon waspada berdepan cabaran jaguh Thailand

Hanis Natasya Lizam 05/03/2025 | 10:54 MYT
Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, bakal berdepan ujian getir apabila diundi menentang juara Terbuka Malaysia 2025 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Seluruh England minggu depan.
Perlawanan itu dijangka sengit dengan kedua-dua pasangan memburu tiket ke peringkat berikutnya.
Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada pasangan Thailand itu, yang kini mendahului 2-1.
"Kami tidak jangka dapat berada dalam kelompok enam terbaik kerana sebelum ini kami di ranking ketiga dan menyasarkan kedudukan ketiga atau keempat.
"Sekarang kami di ranking nombor satu, sudah tentu tekanan itu ada.
"Kami juga tidak sangka akan diundi bertemu pasangan Thailand ini, yang sememangnya lawan sukar.
"Namun, kami akan buat persiapan terbaik kerana sebelum ini kami tewas set straight dalam dua perlawanan separuh akhir.
"Jadi, kami perlu lebih fokus serta menjaga kondisi fizikal dengan lebih baik.
"Pusingan pertama sudah cukup mencabar, jadi kami tidak boleh hilang fokus walaupun seketika," kata Soon Huat kepada Wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
Tambah Soon Huat, kunci utama untuk meraih kemenangan adalah dengan menyekat peranan Dechapol yang sering menjadi penggerak utama permainan pasangannya, Supissara.
"Dechapol lebih bijak, lebih muda, dan bermain dengan tempo yang pantas.
"Dia juga memiliki kualiti yang lebih konsisten serta daya tahan yang tinggi.
"Kami perlu lebih berwaspada dengan kelebihannya dan mencari strategi terbaik untuk mengatasi mereka," tambahnya.
#badminton #Goh Soon Huat #Shevon Lai #All England Live