BADMINTON

All England Live: Kok Siang persiap beregu profesional harungi undian sukar

Shaiful Shamsudin 06/03/2025 | 11:12 MYT
Jurulatih profesional negara, Teo Kok Siang, berpendapat cabaran sukar tampak bakal dihadapi kem profesional negara selepas undian rasmi dikeluarkan bagi setiap sektor beregu dalam Kejohanan Seluruh England 2025.
Bagaimanapun, Kok Siang yakin dengan persiapan rapi selama lima minggu ini dan kem profesional pasti menjelmakan aksi terbaik dalam kejohanan di Birmingham yang bermula Selasa.
"Saya rasa undian ini sangat sukar tapi kami bertekad memberikan persembahan terbaik untuk peminat.
"Saya tidak mahu mereka tekan diri sendiri tapi mereka harus cuba.
"Ini kejohanan bertaraf 1000, satu kejohanan besar besar selepas Sukan Olimpik.
"Saya tidak mahu mendedahkan sebarang sasaran tapi lebih senang mengharunginya secara berperingkat," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Kok Siang turut memaklumkan latihan intensif bersama beregu lelaki nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang bakal berentap dengan wakil Korea Selatan, Kim Gi-jung/Kim Sa-rang, dan semua pemain profesional ketika ini berjalan lancar.
Mental dan fizikal mereka berada di tahap terbaik serta bebas daripada kecederaan.
"Latihan kami sudah berlangsung lima minggu dan segalanya berjalan lancar," katanya.
#badminton