BADMINTON

Aidil bakal sertai kejohanan di Greece

Penulis Jemputan 30/07/2019 | 04:43 MYT
Setelah menanti sekian lama, perseorangan muda lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, akhirnya diberikan peluang beraksi dalam saingan luar negara buat julung kalinya dalam Terbuka Hellas, Greece bermula minggu depan.
Aidil diterima masuk menjadi pelatih di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara sejak awal tahun ini.
Biarpun diletakkan di bawah bimbingan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, dia tidak diberikan banyak pendedahan, dengan hanya sempat beraksi dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan dan juga Siri Antarabangsa Malaysia.
Setelah menanti selama tujuh bulan, akhirnya dia diberikan peluang untuk beraksi di luar negara, dengan harapan mampu untuk melonjakkan kedudukan rankingnya yang kini di tangga ke-594 dunia.
"Jurulatih menghantar menyertai kejohanan bagi membantu meningkatkan ranking serta meraih pengalaman di luar negara," katanya.
Biarpun kejohanan di Greece itu hanya bertaraf Siri Antarabangsa, ia tetap dianggap penting buat Aidil mencapai keputusan positif dalam usaha meyakinkan barisan kejurulatihan negara untuk terus memberikannya pendedahan menyertai lebih banyak kejohanan.
Turut sama mengiringi Aidil ke kejohanan itu ialah rakan sepasukan, Lim Chong King dan Mohd Ziyad Muhd Tah.
"Jika meraih keputusan yang positif nanti, ia akan melonjakkan kedudukan saya bagi memudahkan peluang beraksi dalam kejohanan lain," ujarnya lagi.
;