BADMINTON
Ada individu dorong saya berpecah dengan Ah Fei -- Nur Izzuddin
Beregu lelaki badminton nombor dua dunia, Nur Izzuddin Rumsani, mengakui keputusannya untuk berpisah dengan Goh Sze Fei pada satu ketika dahulu merupakan satu kesilapan.
Menurutnya, keputusan itu didorong oleh seorang individu yang enggan didedahkan namanya memandangkan prestasinya bersama Sze Fei ketika itu sedang merudum.
Bagaimanapun, tindakan beraninya untuk kembali bersama Sze Fei membuahkan hasil untuk mereka kini mengecap gemilang tertinggi di pentas antarabangsa dan berpotensi untuk bergelar gandingan nombor satu dunia pada masa akan datang.
Dalam satu audiosiar yang diterbitkan di saluran Youtube bekas pemain negara, Ameer Zainuddin, dia berkata: "Saya rasa masa itu Terbuka Perancis, sudah penghujung tahun 2022.
"Padahal pada ketika itu, sewaktu awal tahun itu, prestasi kami (bersama Sze Fei) agak bagus. Kami menjadi juara di Jerman dan menjadi naib juara Terbuka Switzerland.
"Tetapi selepas itu, hampir 10 kejohanan kami kandas dalam pusingan pertama.
"Ada individu yang mendorong saya untuk berpasangan dengan orang lain tetapi saya tidak mahulah sebut siapa.
"Jadi, ia membuatkan saya berfikir dan dia juga kerap bertanyakan sama ada saya bersetuju dengan ideanya, jadi atau tak? Tetapi saya mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan.
"Ketika itu, saya berfikir panjang, mungkin saya mahu mencuba perkara baru kerana saya dengan Ah Fei sudah lama berpasangan dan tiada peningkatan.
"Selepas berbincang dengan semua, awal 2023, saya memilih berpecah.
Nur Izzuddin berkata, dia kemudian bersemuka dengan Sze Fei untuk memberitahu hasrat berkenaan dan rakannya itu jelas terkesan dengan keputusan itu.
"Dia nampak terkesan ketika itu tetapi saya juga terkesan kerana perlu bermula dari bawah semula."
Selepas empat bulan bersama pasangan baru, Nur Izzuddin dan Sze Fei akhirnya bersetuju untuk kembali bertaut dan ia ternyata percaturan paling tepat, di mana mereka selepas itu mula menggegar pentas dunia.
Ditanya sama ada dia menyesal dengan perkara itu, dia berkata: "Sze Fei menerima dengan baik kerana dia juga memikirkan perkara sama.
"Ramai orang anggap (keputusan berpecah) memang sesuatu yang merugikan kerana kami sudah berada di tangga kesembilan dunia dan Sukan Olimpik sudah dekat dan kami terlepas peluang itu.
"Tetapi saya rasa apa yang terjadi itu ada hikmahnya. Semua usaha kami hilang sebegitu sahaja dan perlu bermula semula.
"Tetapi saya tidak takut kerana saya sudah berusaha dan ia pasti ada hikmahnya.
"Mungkin jika saya terus dengan Ah Fei dulu, gandingan kami akan jadi lebih teruk dan mungkin sehingga tua kami tidak dapat apa.
"Jadi saya percaya kepada hikmah dan ketentuan," tambahnya.