Ada dua tugas perlu diselesaikan sebelum tinggalkan BAM -- Norza Zakaria

Muzaffar Musa
Disember 16, 2023 20:52 MYT
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, menganggap masih ada dua tugas yang perlu diselesaikannya sebelum meninggalkan kerusi panas itu.
Dengan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menamatkan penantian 45 tahun negara untuk bergelar juara dalam Kejohanan Badminton Dunia tahun lalu, dua tugasan yang perlu diselesaikannya ialah memastikan kem badminton negara bergelar juara Piala Thomas dan meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik.
Disebabkan faktor itu, dia memilih untuk membuat 'pusingan U' selepas mengumumkan akan melepaskan jawatan itu sebelum ini.
Tambahnya, keputusan itu dikuatkan lagi dengan saranan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk dia dikekalkan sebagai presiden badan induk itu.
"Ini adalah perkara yang sudah pasti bukan sahaja saya -- saya hanyalah jambatan kepada perkara ini -- inilah harapan semua rakyat Malaysia terhadap tiga perkara ini," katanya dalam sidang media seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Saya fikir setiap presiden, tidak kira saya atau sesiapa sahaja, inilah perkara yang belum diselesaikan yang perlu dilengkapkan.
"Tentu sahaja kami semua mahu membahagiakan masyarakat tetapi perlu ada fokus kepada perkara itu.
"Kami di sini bukan memasak mi segera, kami membina satu proses untuk mencari jalan bagi menghasilkan jaguh dunia bagi setiap segmen, bagi kesemua lima disiplin," katanya.
#badminton #Persatuan Badminton Malaysia #Norza Zakaria
;