Tiga hari selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berlalu, namun situasi masih lagi belum reda dengan pelbagai pendapat tentang apa yang terjadi dalam EGM masih hangat diperkatakan.
Misinya hanyalah satu, untuk melihat kembali bola sepak Malaysia yang sakit kembali sihat seperti sedia kala.
Terbukanya pekung yang sekian lama tersimpan apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mendedahkan beberapa kelemahan dalam aspek pengurusan dan ketelusan kewangan melalui laporan penilaian tadbir urus FAM.
Sebelum ini juga, Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany, pernah berkata bahawa FAM perlu mengapus budaya tidak sihat yang menjadi punca badan induk itu tersebut dalam menangani hal-hal berbangkit.
Namun, itu tidak bermakna badan kebangsaan itu gagal sepenuhnya memandangkan kepincangan yang wujud itu masih lagi mampu diperbaiki menuju masa hadapan.
Sementara itu, bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail, tidak terkejut dengan laporan audit itu apabila dia juga mengakui budaya sebegitu memang sudah wujud lama dalam FAM.
Sayf berharap laporan itu diberikan akses kepada semua pihak agar dapat menilai sambil berharap tiada lagi muka kepimpinan lama dalam barisan baru FAM menjelang kongres pemilihan pada September depan.
"Kalau masih diberikan kepada orang lama ini, saya risau (situasi) tidak akan berubah.
"Nak kata peluang kedua pun dah (tak relevan) sebab barisan ini sudah 10 tahun dalam kepimpinan, perkara asas tak dibuat dan tidak memberikan jawapan memuaskan.
"Sudah tiba masa dengan adanya statut dan struktur baru, kita perlukan kepimpinan baru," katanya.
Bekas Pengurus Selangor, Zakaria Rahim, pula berpendapat laporan yang dikeluarkan AFC adalah hasil daripada semua ahli gabungan yang 'berat mulut' sejak sedekad lalu.
Ia seperti mana berlaku dalam EGM apabila hampir semua ahli gabungan hanya mendiamkan diri dan tiada usaha untuk persoal mahupun membahas apa yang dibentangkan.
Perkara ini juga dapat perhatian peminat bola sepak Malaysia yang menginginkan sesuatu yang segar daripada FAM dalam barisan wajah baru ini.
Selepas episod duka dan kecewa seluruh peminat bola sepak tanah air -- misi kini hanya satu -- untuk mengembalikan kembali maruah Harimau Malaya.
"Majoriti mereka (wakil FAM) pun tidak membahaskan laporan audit kualiti yang dibentangkan AFC.
"Ahli gabungan perlu bersuara dan usahlah (amalkan) budaya terima semata-mata," kata Zakaria.