STL
STL: KL Thunder ikrar teruskan gemilang tanpa jurulatih Azhar
Tiada angin, tiada ribut, Kuala Lumpur (KL) Thunder terpaksa merelakan pemergian ketua jurulatih, Azhar Sarabini, bersama juara berganda Liga Sepak Takraw (STL) musim lalu itu.
Azhar meninggalkan legasinya tanpa mengucapkan selamat tinggal, apapun tonggak utama seperti Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir menganggap perjuangan mereka bersama pasukan Lembah Klang itu perlu diteruskan apabila kini dibimbing oleh bekas pembantunya, Rashidi Nordin.
"Kami sudah berlatih selama dua minggu tanpa jurulatih yang membawa kejuaraan berganda sebelum ini.
"Kami tiada masalah daripada segi latihan, lagipun dalam kalangan kami berlima ada yang sedang berlatih dengan pasukan kebangsaan.
"Kami tetap teruskan latihan demi fokus (kepada perjuangan) musim depan. Azhar mungkin mahukan kehidupan baru bersama pasukan Kelantan Warriors," kata pelibas kebangsaan, Azlan.
Menurutnya rakan sepasukannya, Amirul Zazwan, pula: "Insya-Allah kami masih mampu mengulangi prestasi tahun lalu tapi kami perlu bekerja lebih keras untuk tingkatkan prestasi.
"Kami tiada masalah untuk di bawah Rashidi memandangkan dia sudah bersama kami sejak tahun lalu.
"Begitupun, kelainan tetap ada kerana kami sudah lama bersama Azhar. Kami banyak terlibat banyak perlawanan bersama-sama dan serasi.
"Sebagai pemain, kami hormati keputusannya.".
KL Thunder kekal tanpa tonggak import musim depan, namun Amirul Zazman yang diangkat sebagai Apit Kiri dan Pemain Paling Bernilai STL musim lalu menganggap barisan kali ini tetap merupakan yang terbaik dalam kalangan semua pencabar.
"Pasukan lain mungkin ambil pemain luar kerana ada kemungkinan mereka tiada pemain tempatan yang mampu memenuhi kualiti yang dikehendaki.
"Buat apa menggunakan khidmat pemain luar kalau skuad ketika ini sudah bentuk keserasian dan permainan.
"Kami sudah cukup baik untuk menentang pasukan lain," katanya lagi.