STL
STL: KL Thunder beri bayangan bawa masuk khidmat import dari Indonesia
Dengan berbaki seminggu ke permulaan musim baru kali kesembilan Liga Sepak Takraw, KL Thunder memberi bayangan bakal mendapatkan khidmat pemain import baru.
Bekas pasukan juara STL itu dilaporkan mengintai seorang pemain daripada pasukan yang baru berjaya membawa pulang pingat emas dari temasya Sukan SEA di Kemboja.
Pasukan KL Thunder berkemungkinan membawa masuk pemain handalan dari Indonesia menggantikan pemain Thailand yang gagal dilepaskan ketua jurulatihnya.
Hanya pencapaian memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Kemboja menjadi bayangan pemain yang digeruni itu sekaligus menjadikan pasukan KL sebagai bakal pesaing hebat dalam liga.
"Persiapan KL Thunder berjalan dengan lancar, kami telah memulakan latihan selepas Hari Raya sehingga hari ini," kata pengurus pasukan KL Thunder, Zamri Abdul Rahman.
"Kami memiliki import dari Thailand namun jika terdapat perkara yang tidak diingini berlaku, kami akan melakukan pelan kedua dan buat masa ini, terdapat dua atau tiga pemain Indonesia dalam senarai kami."
Pelancaran STL musim kesembilan menampilkan 10 pasukan terlibat memperkenalkan jersi baru musim ini.
Bermula 26 Mei, saingan kali ini bakal berlangsung di lima negeri berlainan sebelum Piala Cabaran dijadualkan berlangsung pada 23 Julai, disusuli Piala Juara-Juara di Johor Bharu pada 30 Julai.