STL

STL: Kehadiran pemain import sangat diperlukan

Ammar Hakim 28/12/2021 | 11:25 MYT
Kehadiran pemain import dalam kancah saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2022 dilihat postif oleh apit kiri KL Thunder, Amirul Zazwan Amir yang menaggap ia sekaligus dapat membantu persiapan skuad kebangsaan.
Kemeriahannya juga berbeza jika hanya dibarisi khidmat pemain tempatan selain mampu menyuntik semangat setiap wakil pasukan beraksi cemerlang.
"Kehadiran pemain import menghadirkan semangat bagi pemain tempatan untuk bersaing. Selepas mendapat makluman pihak ASTAF yang menghalang kehadiran pemain luar negara untuk bersaing dalam STL, ia sedikit sebanyak menjejaskan kerana ia adalah peluang untuk kami menguji kemampuan bersaing dengan pemain luar," kata Amirul.
Sebelum ini, Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), mengeluarkan amaran tegas bahawa STL tidak dibenarkan mempunyai khidmat pemain dan pengadil import susulan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bukan lagi di bawah ASTAF.
Berbeza pula dengan pandangan apit kiri Johor Tigris, Muklis Borhan anggap ia tidak menjadi masalah kerana pemain import hanya antara strategi untuk memperkuatkan pasukan.
Keputusan itu bakal diketahui esok sama ada perkara tersebut dapat kelulusan ataupun tidak selepas perbincangan PSM dan ASTAF.
;