Klinik Klas Sepaktakraw (KLAS) 2024 ialah kelas latihan asas kepada sukan itu yang memberi pengalaman bernilai kepada pemain remaja untuk menjalani pembelajaran seperti pemain profesional.

Setiap peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah berpeluang mempelajari teknik asas sepak takraw yang ditonjolkan oleh sentuhan khas bekas perejam negara, Futra Abdul Ghani, yang menjadi tenaga pengajar program.

"Dengan tercetusnya program sebegini, sudah tentu dapat melahirkan atlet seperti Syahir Rosdi, Azlan Alias dan ramai lagi kerana mmemiliki potensi yang sangat besar," katanya.

Memasuki siri ketiga penganjuran, seramai 108 murid menyertai program tersebut yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Dato Harun 2 di Petaling Jaya.

"Kami menerapkan asas pembelajaran seperti menimbang bola atau cara melibas sambil menggunakan beberapa kaedah yang membantu meningkatkan prestasi pemain," kata Setiausaha Pembangunan Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Suhaimi Sun.