Klinik STL yang diadakan musim ini menarik penyertaan hampir 2,000 penyertaan membabitkan lima lokasi, termasuk di sekolah dan lokasi terpilih sepanjang jelajah Sepak Takraw League (STL) belangsung.

Program pembangunan bakat ini adalah inisiatif kelestarian Astro Arena bersama Astro Kasih dalam memupuk minat serta mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan sukan sepak takraw.

Foo Su Lynn, Ketua Kakitangan Astro dan Ketua Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), berkata Astro bukan hanya sekadar ‘Home of Sports’ dengan menyiarkan kejohanan atau temasya sukan terbaik untuk rakyat Malaysia menonton dan bersorak tetapi juga komited dalam memperkasa program pembangunan sukan akar umbi.

"Musim ini kami telah berjaya mencipta impak yang lebih besar kepada komuniti khususnya golongan belia dengan mendorong bersemangat pelajar untuk beraspirasi tinggi mencipta kejayaan dalam sukan sepak takraw ini.

"Sebelum ini, Astro Kem Badminton telah merekrut seramai 21,300 anak-anak muda sejak 2012 dan 30 peratus daripada mereka kini telah bergelar pemain professional. Kini tiba masanya untuk kami memperluaskan lagi program pembangunan bakat generasi muda melalui sukan tempatan STL yang sudah menjadi ikonik selama sedekad penganjurannya.

"Klinik STL yang memasuki tahun kedua ini adalah untuk memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneruskan perjalanan menjadi pemain elit dan bertaraf dunia satu hari nanti

"Kami berharap akan terus meningkatkan jumlah peserta dan akan memberi penambahbaikan di dalam musim akan datang, kami amat mengalu-alukan penglibatan sektor korporat tidak kira dalam apa jua bentuk sumbangan dalam melestarikan sukan sepak takraw ini daripada peringkat akar umbi.

"Astro juga amat berbesar hati dengan kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memberi pengiktirafan markah PAJSK berbentuk merit penglibatan dan penyertaaan peringka negeri kepada pelajar-pelajar yang menyertai Klinik STL ini," katanya.

Musim lalu, seramai 1,500 orang perserta dicatatkan dan kini, ia semakin berkembang dengan lebih ramai penyertaaan dan kemeriahan serta pelbagai kelainan dan suntikan semangat kepada perserta.

Dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Klinik STL turut mendapat sentuhan serta bimbingan jurulatih-jurulatih profesional negara selain kehadiran pemain-pemain STL dan kebangsaan negara yang turut hadir memberi tunjuk ajar kepada peserta.

Selain berpeluang menyaksikan perlawanan STL dengan lebih dekat, peserta terbaik turut diberi peluang untuk beraksi di dalam gelanggang sebenar dan telah di siarkan secara langsung di Astro Arena.

Pendedahan dan pengalaman ini adalah platform untuk menyemarakkan lagi semangat mereka untuk beraksi di liga berprestij dan kompetitif seperti STL satu hari nanti.

Sementara itu, STL meneruskan lagi saingan dalam STL Champion Cup 2024 menyaksikan lapan pasukan membabitkan empat pasukan teratas STL Premier dan empat pasukan jemputan antarabangsa akan berentap merebut piala berprestij itu dari 13 hingga 17 November ini Stadium MBSJ, Serdang.