Skip to main content

Sepak Takraw

Emas Anuar STL: Thunder bangkit atasi Knights, kekal rekod bersih

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kl-thunder-vs-kpt-masum-knights.jpg
KUALA LUMPUR THUNDER 2 KPT-MASUM KNIGHTS 1

Kuala Lumpur Thunder mengekalkan kemenangan bersih dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) apabila bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan KPT-MASUM Knights 2-1 di Stadium MABA, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Menurunkan Aizat Norazmi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Khairol Zaman Hamir Akhbar (perejam), Thunder, bagaimanapun, ketinggalan 7-14 dalam set pertama sebelum memasukkan tekong utama Syahir Rosdi.

Kemasukan Syahir jelas menstabilkan kembali permainan pasukan tuan rumah itu tetapi mereka gagal mengejar mata untuk akur tewas 18-21 dalam set berkenaan.

Permainan sebenar Kuala Lumpur mula dipamerkan dalam set kedua untuk mendahului  12-8 hasil servis-servis tajam Syahir dan mereka berhasil mengheret perlawanan itu ke set penentuan dengan kemenangan 21-13.

Aksi dalam set ketiga juga jelas menjadi milik pasukan naib juara liga musim lalu itu untuk mereka merakamkan kemenangan kesembilan daripada sembilan perlawanan musim ini hasil keputusan 21-14.

Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama Thunder melepaskan satu mata selepas menewaskan lawan-lawan lain dengan keputusan 2-0.

keputusan lain:
MELAKA TITANS 0 NEGERI SEMBILAN ANTLERS 2
BOMBA FIGHTERS 1 PERAK BISON 2
PENANG BLACK PANTHERS 2 JOHOR TIGRIS 1

Advertisement

Must Watch Video