Selangor Pistons menutup siri jelajah Grand Prix Johor, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) dengan meraih tempat ketiga selepas menewaskan Perak Bison, sebentar tadi.
Trio yang terdiri daripada Zuhri Zin, Arif Badri dan Ariff Daniel jelas berada di kelas berbeza apabila membawa Selangor Pistons berada di depan 8-1 sambil pasukan lawan cuba merapatkan jurang selepas itu.
Kebangkitan yang dilakukan oleh finalis GP Penang itu tidak memberikan sebarang amaran merbahaya buat Selangor Pistons yang menjinakkan Perak Bison 15-7 dalam aksi pertama.
Meskipun bermula baik dan tidak mahu skrip sama berulang, Perak Bison dilihat gagal menyayingi ketangkasan Selangor Pistons yang sekali lagi mendahului 12-6.
Tanpa mengambil masa yang lama, skuad kendalian Noor Azman pantas menutup permainan dengan kemenangan straight set 15-9, sekali gus menerima gelaran pasukan ketiga terbaik kejohanan.
Najmi Iman
Sat Nov 02 2024