Tekong Kuala Lumpur Thunder, Syahir Rosdi, mengesahkan bahawa dirinya sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring yang dialami sejak Julai lalu.
Malah, dia sedia memulakan kempen Grand Prix Selangor Liga Sepak Takraw (STL) 2024 yang akan membuka tirai pada 11 September depan.
Syahir percaya saingan musim 2024 bakal menjanjikan sesuatu yang berbeza dan lebih mencabar memandangkan semua pasukan dilihat miliki barisan pemain ampuh serta berkualiti.
Dia yang juga pemain tekong utama negara turut meletakkan sasaran untuk membantu skuad kendalian Rosli Abdul Rahman merampas kembali kejuaraan dari Perak Bison dan merealisasikan misi gelaran kedua buat KL thunder selepas kali terakhir melakukannya pada 2020.
"Kecederaan hamstring saya sudah pulih sepenuhnya, tetapi saya agak kecewa tidak dapat bersaing di Piala Raja Thai 2024.
"Kualiti pemain pasukan lain sangat baik dan kami sebagai pemain kebangsaan tidak senang duduk. Kami akan cuba sebaik mungkin, sasaran peribadi saya untuk menjuarai tetapi jika berada di kedudukan kedua dan ketiga, saya sudah bersyukur." katanya kepada Nadi Arena.
Sementara itu, tekong muda skuad d ATM Guardians, Ikmal Hakimi Azli Sham, mengakui tugas berat menantinya apabila mengambil alih tanggungjawab selaku tekong utama daripada Hairul Hazizi Haidzir yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan 'slip disc'.
Meskipun sukar, tekong kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memberikan jaminan bahawa dia akan cuba sedaya upaya bagi membantu pasukannya mencapai sasaran berada di kelompok empat pasukan terbaik.
Saufi Tahir
Sat Sep 07 2024