STL
Emas Anuar STL: Semua pasukan pasti ingin tewaskan KL Thunder -- Redwan Hakim
Antara gementar dan teruja, perejam simpanan Kuala Lumpur (KL) Thunder, Muhammad Redwan Hakim Muhammad, nekad untuk membalas kepercayaan penuh yang bakal diberikan jurulatihnya Rosli Rahman dalam perlawanan pertama bertemu Penang Black Panther di Ipoh, esok.
Dia mengakui perlu melalui persaingan yang sengit apabila berada dalam satu pasukan bersama perejam utama negara, Azlan Alias, tetapi Hakim nekad untuk mempamerkan aksi setanding kemampuan Azlan.
"Semestinya ada tekanan dan cabaran menggalas tanggungjawab besar memandangkan kami telah dua kali juara, jadi semua pasukan pasti ingin menewaskan KL Thunder.
Iklan
"Jika pasukan lain agar berpendapat jika saya yang turun maka moral mereka akan naik, tetapi saya ingin mereka tahu pemain utama dan simpanan juga bagus," katanya.
Hakim terlepas peluang beraksi untuk berada dalam skuad kebangsaan dalam saingan Sukan SEA Kemboja 2022, namun kembali ke pangkuan skuad kebangsaan di saingan Piala Dunia awal 2024, tetapi masih belum melakukan debut.
Turut timbul kerisauan melihat kebangkitan ramai perejam muda dalam saingan Sepaktakraw League (STL) Premier tahun ini membuatkan Hakim berasakan dia tidak boleh ketinggalan lagi.
"Saya masih lagi dalam skuad kebangsaan, cuma rasa tercabar kali ini kerana banyak pemain yang turunkan pemain muda jadi cabaran saya makin tinggi.
"Makin banyak pemain muda yang berpotensi, saya tidak boleh duduk diam kerana cabaran semakin tinggi." tambah Redwan Hakim lagi.
Must-Watch Video