STL
Emas Anuar STL: Perak Bison mara ke separuh akhir
Perak Bison melangkah ke pusingan separuh akhir Grand Prix Selangor, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) selepas menyingkirkan Kelantan Warriors 2-0 di Stadium Malawati, Shah Alam, sebentar tadi.
Kelantan Warriors membariskan pemain sama iaitu Purached Yodsean (Tekong), Adli Abu Bakar (Apit Kiri) dan Haikal Jamil (Apit Kanan). Manakala, Dzafril Mohd mempertaruhkan Kritsada Sungvung (Tekong), Aidil Aiman (Apit Kiri) dan Noraizat Nordin (Apit Kanan).
Perak Bison terpaksa berhempas pulas dalam aksi set pertama selepas menerima tentangan sengit daripada Juara Divisyen 1, Kelantan, untuk meraih kemenangan 17-14 dalam tempoh 27 minit.
Walaupun pasukan dari Pantai Timur itu cuba bangkit untuk mendahului Perak dengan jurang empat mata untuk kedudukan 6-10.
Tetapi Perak kembali bangkit dengan aksi yang lebih kemas untuk mengikat pasukan lawan 11-11 sekali gus memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka dengan kemenangan 15-12 dalam tempoh 24 minit aksi di set kedua.
PDRM Defender menanti Perak Bison dalam saingan pusingan separuh akhir kedua esok selepas menang dalam aksi straight set tadi.