Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan, Wan Mohd Husni Abdullah, mengesahkan Antlers bakal mendapatkan khidmat seorang perejam import berprofil tinggi menjelang Grand Prix (GP) Terengganu yang merupakan pusingan kedua kancah Liga Premier Emas Anuar Sepaktakraw League (STL), minggu depan.

Antlers memerlukan seorang apit kanan import bagi menampung beban yang digalas kapten pasukan, Hafizul Hayazi Adnan, selepas sekadar menamatkan saingan GP Selangor di peringkat suku akhir.

Wan Mohd Husni turut memaklumkan berkemungkinan besar mereka hanya boleh menggunakan pemain import berkenaan bermula dalam GP Perak pada 9 Oktober depan sebaik sahaja urusan dokumentasi selesai.

"Kami memerlukan seorang pelapis untuk Hafizul Hayazi sebab tahun ini Negeri Sembilan bawa pemain muda daripada Sukan Malaysia (Sukma).

"Bukan tidak percayakan (kemampuan) pemain muda tapi kami perlukan pengalaman dan mereka ini boleh dimasukkan pada waktu-waktu tertentu.

"Kami perlu lakukan sesuatu dan kalau tiada halangan akan dapatkannya. Kami kini dalam fasa terakhir perbincangan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Antara calon pelibas yang disebut-sebut bakal menyarung jersi Negeri Sembilan Antlers adalah dari negara Indonesia dan juga India.