STL

Emas Anuar STL: Nantikan kejutan Penang Black Panthers di GP Perak

Najmi Iman 03/10/2024 | 12:14 MYT
Berbaki enam hari sahaja lagi sebelum tirai saingan Grand Prix (GP) Perak, Emas Anuar Liga Sepaktakraw (STL) Premier yang akan berlangsung 9 Oktober ini, Penang Black Panthers, mahu memperbaiki pencapaian lalu yang mengakhiri cabaran di separuh akhir di GP Terengganu.
Menurut pengurusnya, Hasnul Hadi Abd Rashid, semua pemain kini sudah bebas daripada sebarang kecederaan dan bersedia sepenuhnya demi tidak memberi jalan mudah kepada pasukan lawan sebaliknya ingin mempamerkan persembahan memukau di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Ketika tempoh berehat, apit kiri pasukan, Zaim Razali, menggunakan kesempatan tersebut untuk meregangkan kembali otot dengan melakukan senaman ringan dalam kolam serta memohon bantuan isteri tercinta untuk mengurut sendi kaki.
Penang yang diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan GP, Kuala Lumpur Thunder dan ATM Guardians tidak mahu melepaskan peluang sambil mahu melancarkan tekanan tinggi kepada kedua-dua pasukan tersebut.
Hasnul Hadi menegaskan bahawa pasukannya sebagai bukan pilihan (underdog), namun tidak mahu menjadikannya sebagai alasan sebaliknya mempunyai visi tersendiri untuk mengalahkan pasukan lain selain elemen kejutan turut bakal digunakan.
#Sepak Takraw #STL #Penang Black Panthers #Emas Anuar STL #GP Perak
;