Kerja keras Sabah Mountaineers pada awal set pertama belum cukup untuk mengejutkan Penang Black Panthers dalam pertembungan Emas Anuar Sepak Takraw League (STL), hari ini.

Selepas mata ke-13, Sabah mula hilang rentak dan peluang itu dimanfaatkan sebaiknya oleh Penang untuk menamatkan set pertama 21-13.

Peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan dalam set kedua di Stadium Titiwangsa itu tetapi persembahan tekal Penang menyukarkan trio lawan.

Penang terus mendominasi sebelum mengakhiri permainan 21-15.




Sementara itu, KPT-MASUM Knights mencongak kebangkitan selepas episod dua kekalahan berturut-turut untuk mencabar kedudukan empat teratas ketika bertemu Bomba Fighters.

Tekong Knights, Zuhri Zain memastikan momentum awal milik mereka menerusi kelebihan enam mata di kedudukan 8-2.




Kelebihan itu dinoktahkan menerusi kemenangan set pertama 21-14 dalam masa 24 minit.

Set kedua berbeza dengan aksi lebih sengit ketika Fighters terlebih dahulu memegang servis.

Tetapi Fighters dipaksa mengerah keringat apabila ketinggalan 14-19 sebelum merapatkan jurang 18-19.

Bagaimanapun, Knights menjamin kemenangan mutlak apabila mencipta kemenangan set kedua 21-18.