KPT-MASUM KNIGHTS 2 KL THUNDER 0

KPT-MASUM Knights mencipta kejutan terbesar dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim ini apabila menumbangkan pasukan pilihan, Kuala Lumpur Thunder, 2-0 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Kekalahan itu turut menyaksikan KL Thunder berdepan kekalahan pertama selepas 12 perlawanan musim ini.

Pendahulu liga, KL Thunder, menurunkan barisan kedua mereka dalam perlawanan kali ini dengan Aizat Nor Azmi bertindak sebagai tekong sambil diapit Hanif Rosdi (pengumpan) dan Redwan Hakim Muhammad (perejam).

Percaturan itu jelas tidak membuahkan hasil apabil Knights, yang diwakili Zuhri Zain (tekong), Nazhan Noor Azmi (pengumpan) dan Amir Syahiran Fuzi (perejam) mudah memenangi set pertama 21-11.

Sedikit kebangkitan cuba diberikan KL Thunder dalam set kedua tetapi ia masih belum berhasil untuk mengelakkan kekalahan pertama mereka apabila tewas 14-21.

KL Thunder seterusnya akan berdepan Bomba Fighters malam esok sambil Knights pula akan menghadapi Sabah Mountaineers sehari kemudian.