Kuala Lumpur (KL) Thunder menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir GP Penang Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) selepas menyingkirkan PDRM Defenders dengan kemenangan straight set 15-9,15-7, di Spice Arena, sebentar tadi.

KL Thunder dibarisi Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan (apit kiri) dan pemain muda, Redwan Hakim (apit kanan). Khalid Alis pula mempertaruhkan Syahmi Hussin (tekong), Pharitat Kaewnunual (apit kiri) dan Syukri Hasan (apit kanan).






Walaupun Syahir Rosdi kerap melakukan kesilapan mudah dalam set pertama, namun PDRM tidak berjaya mengambil kesempatan hingga menyaksikan mereka tewas 9-15 dalam tempoh 19 minit.

Percaturan Khalid Alis membawa masuk Shahalril Aiman dalam set kedua buat PDRM tidak membuahkan hasil apabila kedudukan Kuala Lumpur yang jauh mendahului sekali gus meranapkan impian PDRM untuk meraih kemenangan 15-7.






Negeri Sembilan Antlers menanti KL Thunder yang memegang reputasi selaku juara GP Selangor, GP Terengganu dan GP Perak dalam saingan separuh akhir yang akan bermula pada jam 12 tengah hari, esok.