Kuala Lumpur Thunder terus menjadi kuasa besar pasukan terkuat selepas menyapu bersih semua gelaran daripada Grand Prix Selangor sehingga GP Johor, Emas Anuar Liga Sepaktakraw Malaysia (STL), musim ini.

Terbaru, KL Thunder dinobatkan sebagai juara GP johor ekoran kemenangan rubber set menundukkan Negeri Sembilan Antlers di Stadium Arena Larkin Johor Bahru, sebentar tadi.

Langkah awal Negeri Sembilan Antlers memimpin perlawanan 5-2 dilihat cukup menakjubkan menerusi trio utama mereka, Hafizul Hayazi, Zulefendi Sumari dan Haziq Nizam.

KL Thunder bagaimanapun, menyamakan kedudukan 10-10 melalui servis tekong kebangsaan, Syahir Rosdi, yang menyukarkan pihak lawan menerima bola tersebut.




Skuad kendalian Rosli Rahman memerlukan tempoh 30 minit untuk mendapatkan mata permata ekoran mendahului 17-15 dalam aksi berkenaan.

Memasuki set kedua, aksi semakin hangat apabila dalam sekelip mata kedudukan terikat 7-7 sambil penguasaan bertukar kepada Negeri Sembilan Antlers yang tidak berputus asa.

Kedua-dua pasukan enggan melakukan pertukaran pemain sebaliknya menyajikan persembahan memukau menunjukkan aksi penuh berkualiti untuk membanggakan pasukan.

Semangat juang tinggi menjadi penyebab luar biasa Negeri Sembilan Antlers menyamakan kedudukan 1-1 yang berkesudahan 15-10 di set kedua.

Ketika masing-masing tidak mahu mengaku kalah, momentum Negeri Sembilan Antlers dan KL Thunder seakan menggamatkan suasana pertandingan apabila mata demi mata dipungut kedua-dua pasukan.

KL Thunder kekal menjadi pasukan terkuat liga susulan menutup kempen GP Johor dengan menewaskan NS Antlers 15-12 di set ketiga demi meraih gelaran juara.