STL
Emas Anuar STL: KL Thunder pasukan bukan pilihan -- Sumali
Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Sumali Reduan, menganggap Kuala Lumpur Thunder bakal turun beraksi sebagai pasukan bukan pilihan bagi saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) bermula esok.
Meskipun dibarisi beberapa bintang skuad kebangsaan seperti tekong, Syahir Rosdi dan Zarif Marican Ibrahim Marican, perejam, Azlan Alias, dan pengumpan, Amirul Zazwan Amir, ia bukanlah jaminan untuk skuad kendalian Rosli Abdul Rahman itu raih laluan selesa memburu kedudukan empat pasukan terbaik musim ini.
"Saya boleh katakan yang KL Thunder juga 'underdog' (bukan pilihan)," kata Sumali kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Semua pasukan memiliki kekuatan masing-masing. Suka tidak suka, Perak (Bison) adalah juara bertahan.
"Kita juga tidak boleh memandang rendah ATM (Guardians), begitu juga PDRM (Defenders).
"Dari awal ini, saya boleh katakan ia (peluang) 50-50 kerana KL Thunder pernah berada dalam situasi seperti itu.
"Dalam satu-satu masa, pemain kebangsaan juga tidak boleh menunjukkan prestasi terbaik, itu pernah berlaku," katanya.