STL
Emas Anuar STL: KL Thunder hampiri hatrik GP, tewaskan Perak Bison
Kuala Lumpur (KL) Thunder melengkapkan hatrik ketiganya mara ke final selepas menewaskan Perak Bison 15-7,15-10 dalam aksi straight set separuh akhir pertama Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) GP Perak, di Stadium Indera Mulia, Ipoh, sebentar tadi.
KL Thunder kekal mempertaruhkan barisan terbaiknya iaitu Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam). Manakala, pasukan tuan rumah meletakkan Meor Zulfikar (tekong), Asyraaf Hadi (pengumpan) dan Treepong Rawangpai (perejam).
Beberapa kesilapan mudah yang dilakukan Perak dalam set pertama memberikan KL kelebihan untuk mencapai mata ke-10 terlebih dahulu.
Walaupun percaturan Dzafril Anuar membawa masuk Noraizat Nordin membuahkan hasil, namun sudah terlambat untuk bangkit apabila terpaksa akur untuk tewas 7-15.
Juara GP Selangor dan Terengganu itu meneruskan momentum dalam separuh masa kedua selepas percaturan Perak serba tidak menjadi dan bergelut untuk mengheret KL ke set penentuan dan tewas 10-15 dalam tempoh 30 minit.
ATM guardians mahupun Selangor Pistons menanti KL Thunder dalam saingan final malam nanti.